Juga Mahu Rasa Dicintai
“Fokus pada pelajaran,” kata mereka.
Dan aku patuh. Aku pegang kata-kata itu sekuat yang aku mampu.Seolah-olah pendidikan ialah satu-satunya jalan menuju kebahagiaan.Sejak kecil, itu yang diajar. Belajar rajin-rajin. Kejar cita-cita. Kejar kejayaan. Cinta, perasaan, hubungan…semua itu boleh tunggu. Nanti akan datang juga, kata mereka.
Dan aku percaya.
Aku belajar sungguh-sungguh.SPM aku? Cemerlang. Aku capai apa yang orang anggap mustahil. Asasi? Aku tamatkan dengan baik, walaupun penuh tekanan dan air mata yang orang tak nampak. Sekarang? Aku di salah satu universiti terbaik di negara ini.
Top 3. Tempat yang ramai orang impikan.
Tapi… kenapa aku masih rasa kosong?
Setiap pagi aku bangun, lakukan rutin seperti biasa. Kelas. Tugas. Ulang kaji. Pembentangan. Segalanya kelihatan sempurna di luar. Tapi dalam hati… hampa.
Ada ruang besar yang tak tahu nak diisi dengan apa.
Aku tengok orang sekeliling jatuh cinta. Bercinta, berpisah, menangis, kemudian jatuh cinta semula. Kisah mereka tak sempurna, kadang-kadang menyakitkan, kadang-kadang membingungkan.
Tapi mereka rasa. Mereka hidup.
Setiap kali mereka tengok aku, mereka akan pesan, “Jangan jatuh cinta. Nanti sakit.”
Dan aku senyum. Angguk.
Tapi dalam hati aku cuma fikir… sekurang-kurangnya mereka pernah dicintai. Mereka pernah dipeluk erat, dirindui seseorang, dihargai tanpa sebab logik. Mereka pernah jadi dunia kepada seseorang, walaupun sekejap.
Aku?
Aku tak pernah pun.
Tak pernah ada sesiapa yang betul-betul memilih aku. Tak pernah ada mata yang lihat aku dan terus tahu, “Aku nak dia.”
Tak pernah ada tangan yang genggam tangan aku dan berkata, “Aku akan ada dengan kau. Aku tahu aku patut bersyukur. Aku ada pencapaian. Aku berjaya.
Tapi pencapaian tak memeluk aku waktu aku rasa lemah. Pendidikan tak tanya aku sama ada aku rasa cukup atau tidak. Ia hanya memberi markah. Sijil. Dan tekanan baru untuk langkah seterusnya.
Tapi hati aku? Ia sunyi. Dan kekosongan ini… makin lama makin kuat bunyinya. Aku juga nak dicintai. Bukan sekadar disukai, bukan hanya dikagumi dari jauh kerana aku ‘cerdik’ atau ‘berpotensi’.
Tapi dicintai dengan dalam, dengan tulus, dengan cara yang tak masuk akal. Dicintai walaupun aku rumit. Walaupun aku senyap. Walaupun aku penuh persoalan.
Sebab mungkin…
kalau itu wujud, kekosongan ini tak akan rasa sebegitu menyakitkan. Dan aku tak perlu terus berpura-pura yang aku okay, bila sebenarnya aku cuma… kosong.
Comments
Post a Comment