Cuma Pilihan Kedua

 Bila Aku Cuma Pilihan Kedua


Kadang-kadang aku pandang cermin dan aku rasa… aku cukup lawa. Aku tahu aku bukan sempurna, tapi aku selesa dengan diri aku. Aku suka cara aku senyum, cara aku bergaya, dan kadang-kadang aku rasa yakin dengan apa yang aku ada. Tapi entah kenapa, setiap kali aku fikir aku cukup… aku tetap rasa macam tak pernah cukup untuk sesiapa.

Lelaki datang dan pergi. Mula-mula mereka kagum dengan idea aku, cara aku bercakap, cara aku fikir. Mereka selalu kata aku “menarik”, “lain daripada yang lain”. Tapi entah kenapa, akhirnya mereka semua berlalu juga. Mereka suka sebahagian daripada aku, tapi tak pernah benar-benar mahu keseluruhan aku.

Dan yang paling menyakitkan… aku selalu jadi pilihan kedua. Bukan yang pertama dipilih, tapi yang dicari bila semuanya tak menjadi dengan orang lain. Macam aku ni cuma ‘option’ bila tiada sesiapa. Bila mereka bosan. Bila mereka rasa sunyi.

Ia buat aku terfikir, apa yang kurang dengan aku sebenarnya? Aku mula persoalkan rupa aku. Adakah aku tak cukup cantik bila dibandingkan dengan perempuan lain? Atau mungkin personaliti aku yang terlalu kuat, terlalu ‘banyak’, sampai buat orang takut? Aku cuba jadi lebih baik, lebih tenang, lebih menarik… tapi rasa ‘tidak cukup’ tu tetap ada.

Aku penat jadi seseorang yang hanya disukai pada permukaannya sahaja. Aku nak disayangi sepenuhnya, bukan sekadar ideaku, bukan sekadar apa yang aku boleh beri secara intelek atau emosi. Tapi aku… sebagai aku.

Mungkin suatu hari nanti akan ada seseorang yang nampak aku sepenuhnya dan masih pilih untuk tetap bersama aku. Tapi buat masa sekarang, aku belajar untuk terima satu hakikat yang aku tak perlu jadi lebih dari diri sendiri hanya untuk disukai. Dan kalau mereka tak nampak nilai aku, mungkin itu bukan kekurangan aku, tapi kehilangan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Aku Rasa Kosong

Pertama Kali ke PBAKL