Chihiro— Billie Eilish
Ulasan Peribadi Lagu “Chihiro” oleh Billie Eilish
Lagu “Chihiro” menyentuh saya dengan cara yang sukar dijelaskan. Inilah cara saya faham lagu ini dimana ia bukan sekadar melodi yang indah, tetapi sebuah gambaran perasaan yang saya sendiri pernah alami. Lagu ini bagi saya menceritakan tentang pulang, tapi bukan pulang yang menggembirakan. Sebaliknya, ia tentang pulang ke tempat yang sepatutnya membawa ketenangan, tapi cuma meninggalkan rasa kosong.
Bila Billie menyampaikan perasaan “tidak gembira tapi juga tidak sedih”, saya rasa itu sangat dekat dengan jiwa saya. Ia seperti perasaan kebas emosi yang tak tahu arah. Rumah yang disebut dalam lagu ini bukan lagi tempat perlindungan, tetapi hanya ruang yang dipenuhi tubuh-tubuh yang berjalan tanpa jiwa. Semua orang nampak hidup, nampak beremosi, tapi pada hakikatnya hati mereka keras, dingin, dan jauh.
Bagi saya, Chihiro bukan sekadar lagu tapi ia cerminan realiti yang saya sendiri cuba hadam. Ia membuka luka yang saya simpan lama, tentang bagaimana ‘rumah’ kadang-kadang boleh jadi tempat paling sunyi walaupun ramai di sekeliling. Lagu ini mengingatkan saya bahawa saya tidak keseorangan dalam perasaan ini. Ia memberi saya ruang untuk faham emosi sendiri dengan lebih jujur, tanpa perlu berpura-pura semuanya baik-baik sahaja.
Mungkin sebab itu lagu ini terasa sangat mendalam bagi saya kerana ia memberi suara kepada perasaan yang selama ini saya tak tahu macam mana nak luahkan.
Comments
Post a Comment